KUALA LUMPUR - Hanya seminggu selepas mendakap Piala FA, Negeri Sembilan diaibkan dengan kekalahan 1-3 kepada Kelantan dalam perlawanan bola sepak Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, semalam.
Jaringan Kelantan dihasilkan Indra Putra Mahayuddin menerusi gerakan cantik minit ke-29, sebelum Mohd. Daudsu Jamaluddin menambah gol kedua dan Badri Razi melengkapkan jaringan ketiga skuad Red Warriors.
Di Stadium JCorp, Johor FC naik ke tangga kedua liga dengan 22 mata, empat mata di belakang Selangor selepas menang 2-0 ke atas Terengganu.
Sementara itu, jaringan Mohd. Faizol Hussain pada minit ke-19 membantu Johor mengalahkan Pahang 1-0 di Stadium Darul Makmur.
Dalam satu lagi perlawanan, T-Team mengatasi Pulau Pinang 1-0 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu. Abdul Hadi Yahya muncul penjaring gol T-Team pada minit ke-59.
Jurulatih baru Perlis, Yunus Alif mencatat kemenangan dalam perlawanan pertamanya bersama skuad Singa Utara apabila menang 2-1 ke atas KL Plus di Stadium MBPJ. Mohd. Azrul Ahmad menghasilkan gol pertama Perlis sebelum Ahmad Aminuddin menjaringkan gol kedua pada minit ke-79.
KL Plus memperoleh gol tunggal melalui sepakan percuma yang diambil Nasrin Nawi pada minit ke-85.
Di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Mohd. Shafiq Jamal meletakkan Kedah di depan pada minit ke-21, sebelum V. Thirumurugan menambah derita Kuala Lumpur melalui gol kedua pada minit ke-70.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan